Friday, April 8, 2011

Panduan dan Etika Penggunaan Twitter (Bahagian 1)


Twitter merupakan satu laman sosial yang dikategorikan sebagai mikro blog dan mengamalkan “free flow information”. Ianya membolehkan sebarang mesej dihantar secara masa nyata (real time) tanpa ditapis oleh mana-mana pihak. Kebebasan penggunaan media sosial seringkali disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi menyebarkan sentimen-sentimen negatif yang berbentuk hasutan selain menghamburkan kata-kata kesat kepada individu-individu dan pihak-pihak tertentu. Lantaran itu, etika merupakan sesuatu yang amat perlu dipatuhi dan dipelajari oleh segenap lapisan masyarakat yang berada di dalam dunia Teknologi Maklumat (IT). 

Twitkini mencadangkan beberapa tips dan panduan yang anda boleh gunakan di dalam menggunakan Twitter:


1. Fikir sebelum Tweet

Pastikan anda telah berfikir dan meneliti mesej yang anda cuba sampaikan melalui Twitter kerana ianya melambangkan peribadi anda dan mungkin juga mesej tersebut mengandungi unsur-unsur negatif dan fakta yang salah. Anda bukan sahaja perlu berfikir terlebih dahulu sebelum menekan butang ‘enter’ malah anda juga mungkin perlu melakukan sedikit homework di enjin carian seperti Google atau Yahoo!.


2. Gunakan ayat yang ringkas dan mudah difahami

Twitter hanya membenarkan pengguna menyampaikan mesej di dalam 140 patah perkataan sahaja. Pastikan ayat dan perkataan yang diringkaskan boleh difahami oleh pengikut anda.


3. Bertanggungjawab

Anda perlu bertanggungjawab di atas apa yang anda sampaikan kepada masyarakat Twitter. Twitter tidak akan membuang mesej di Twitter dan mesej-mesej yang negatif barangkali boleh memberikan kesan pada masa hadapan.


4. Letak kredit dan sumber rujukan

Meletakkan kredit atau sumber rujukan adalah perlu bagi memastikan bahawa mesej yang anda sampaikan mempunyai sumber yang jelas selain menghormati pandangan dan karya pengguna lain.


5. Gunakan khidmat peringkas pautan

Pautan yang anda hantar melalui Twitter mungkin terlalu panjang sehingga menyukarkan anda untuk menambah sebarang ulasan di dalam mesej anda. Anda boleh menggunakan khidmat peringkas pautan seperti bitly. Sebagai contoh, http://twitkini.blogspot.com/ boleh diringkaskan oleh bitly kepada http://bit.ly/hIOjPJ